Monday, July 11, 2011

HARGA REMAJA SAJAK TIBA WAKTUNYA

Tiba Waktunya
(Ghazali Lateh)

MAKSUD

Rangkap 1

Arus globalisasi telah berlaku dengan pantas meliputi pelbagai bidang. Oleh itu, manusia perlu merebut peluang yang ada selari dengan perubahan zaman.

Rangkap 2

Wanita tidak perlu memikirkan perkara-perkara yang bakal menimbulkan kekeliruan untuk membuat pilihan kerana akan merugikan masa. Perkara yang lebih penting ialah wanita perlu merebut peluang yang ada dalam usaha memajukan diri dan keluarga.

Rangkap 3

Penyajak menyarankan agar wanita zaman siber berani meluahkan idea ke tengah arena negara. Penglibatan wanita dalam pelbagai bidang mampu memacu negara mencapai wawasan.

Rangkap 4

Mereka perlu keluar daripada kongkongan kedaifan dan meleraikan semua yang mengelirukan. Mereka juga perlu berani, berkeyakinan tinggi, tabah di samping menjaga budi pekerti serta hebat semua bidang.

Rangkap 5

Penyajak mengajak wanita supaya mengangkat martabat mereka dengan kekuatan akal dan tenaga fizikal. Dengan berbekalkan keimanan dan kecekalan, penyajak menyarankan wanita menggerakkan keupayaan maksimum.

Rangkap 6
Sekaranglah masanya untuk wanita berada di puncak pentas dunia.


TEMA

Usaha mengangkat martabat wanita.


PERSOALAN

1. Persoalan persaingan manusia dalam mengejar kemajuan pada zaman moden.

2. Persoalan keyakinan diri dalam usaha mendapat kesenangan dalam hidup.

3. Persoalan peranan wanita dalam masyarakat.

4. Kepentingan wanita menjadi seorang yang berani.



BENTUK

1. Terdiri daripada enam rangkap.

2. Bilangan barisnya tidak sama. Rangkap pertama mengandungi lima baris, rangkap kedua mengandungi tujuh baris, rangkap ketiga mengandungi empat baris, rangkap keempat mengandungi enam baris,rangkap kelima mengandungi lima baris dan rangkap terakhir mengandungi dua baris.

3. Jumlah patah kata antara tiga hingga enam.

4. Jumlah suku kata antara tujuh hingga empat belas.

5. Rima akhirnya bebas : aabcc, aaaaabb, abcc, aabbbb, aabbb dan aa.

6. Sajak ini berbentuk bebas.



NADA

Patriotik



GAYA BAHASA

1. Pemilihan kata atau diksinya indah.
Contoh : dari putik dan pucuk berembun kemilau

2. Kata ganda.
Contoh : tunas-tunas, gerak geri, sisa-sisa.

3. Aliterasi :pengulangan konsonan n
Contoh : merebut tunas-tunas harapan yang hijau

4. Asonansi :pengulangan vokal u
Contoh :dari putik dan pucuk berembun kemilau

5. Sinkope.
Contoh : kautanya

6. Hiperbola.
Contoh : angin musim semakin deras dan ganas

7. Metafora
Contoh : tunas-tunas harapan

8. Imajan / simbolik.
Contoh : persada dunia ( puncak kejayaan)

9. Inversi
Contoh : usah kautanya persoalan dilemma



NILAI

1. Nilai keberanian. Wanita kini perlu berani mengemukakan idea dan melibatkan diri dalam pelbagai bidanguntuk pembangunan negara.

2. Nilai kecekalan. Kecekalan penting untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu bidang.

3. Nilai keyakinan diri. Wanita kini perlu memiliki keyakinan diri dalam menempuh arus perdana dalam hidup.

4. Nilai berpandangan jauh. Setiap individu perlu berpandangan jauh untuk mencapai matlamat hidup.



PENGAJARAN

1. Wanita hendaklah berani menghadapi cabaran dalam zaman moden ini demi kejayaan diri sendiri.

2. Kita mestilah cekal dalam meniti kehidupan demi kesejahteraan hidup.

3. Wanita mestilah menjaga iman dan adab sopan agar terpelihara daripada godaan dunia.

4. Wanita hendaklah berusaha mengangkat martabat mereka dengan berbekalkan kekuatan mental dan fizikal.



Soalan

1. Nyatakan dua gaya bahasa yang terdapat dalam sajak Tiba Waktunya.

2. Nyatakan dua nilai yang dapat dipetik dalam sajak ini.

No comments:

Post a Comment