Monday, July 18, 2011

LATIHAN KOMSAS F4 DAN F5

PUISI TRADISIONAL
PANTUN 4 KERAT ( JENAKA DAN SINDIRAN)

Baca pantun di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Apa guna berkain batik,
Kalau tidak memakai capal;
Apalah guna beristeri cantik,
Kalau tak pandai menumbuk sambal.


Dari Kelang lalu ke Jawa,
Naik sigai ke atas atap;
Ikan kering lagi ketawa,
Mendengar tupai membaca kitab.


Ambil segulung rotan saga,
Suruh diambil mari diurut;
Duduk termenung harimau tua,
Melihat kambing mencabut janggut.


Kupu-kupu terbang melintang,
Hinggap menghisap bunga layu;
Hati di dalam menaruh bimbang,
Melihat ikan memanjat kayu.


Lebat sungguh padi di paya,
Kayu tumbang tepi pangkalan;
Hairan sekali hati saya,
Burung terbang disambar ikan.


(Antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka.)

Latihan

1) Nyatakan sindiran yang terdapat dalam rangkap pertama dan rangkap kedua syair ini.

2) Sila nyatakan tiga cara bagaimana orang bawahan dapat membuktikan kemampuan mereka.

3) Berikan tiga pengajaran yang terdapat didalam pantun tersebut.

4) Soalan bonus untuk pelajar perempuan (lelaki pun boleh juga): Pada pendapat anda, wajarkah pelajar lelaki belajar memasak sejak kecil?

PUISI TRADISIONAL
GURINDAM 12 FASAL YANG KEENAM

Baca gurindam di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Cahari olehmu akan sahabat,
Yang boleh dijadikan ubat.

Cahari olehmu akan guru,
Yang boleh tahukan setiap seteru.

Cahari olehmu akan isteri,
Yang boleh menyerahkan diri.

Cahari olehmu akan kawan,
Pilih segala setiawan.

(Petikan daripada Antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)

Latihan:

1) Berikan dua kebaikan yang dapat diperoleh orang yang pandai memilih sahabat dan guru.

2) Seseorang lelaki itu perlu bijak dalam memilih calon isteri. Nyatakan tiga ciri seseorang calon isteri yang baik. Soalan bonus bagi pelajar perempuan: Nyatakan sepuluh ciri seseorang calon suami yang baik! :)

3) Sila kemukakan empat gaya bahasa yang terdapat dalam gurindam tersebut.

SAJAK
HARGA REMAJA

Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Berapakah sebenarnya harga remaja
yang bersih
dari gelodak kecewa
bagai kehijauan daun
bagai kesegaran pohon
di pinggir perjalanan ini?


Dengan apakah akan kaupenuhi
piala remajamu
adakah cuka kesangsian
dari cinta maruah
atau madu ajaran
dari ilmu susah


Remaja amat mahal
sesungguhnya
tiada terbeli oleh perjanjian
harga remaja adalah pendirian
keberanian dan ilmu


Penuhilah remajamu
dengan ketentuan tuju


Rahman Shaari

(Antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)


Bahagian Latihan:

"Penuhilah remajamu
dengan ketentuan tuju"

Latihan 1: Berikan maksud rangkap pada petikan di atas

Latihan 2: Pada pandangan anda, apakah kesan yang berlaku sekiranyan remaja gagal mengisi usia remajanya dengan perkara-perkara yang berfaedah. Sila nyatakan empat kesan tersebut.

Latihan 3: Jelaskan tiga mesej penyajak kepada remaja seperti yang terkandung dalam rangkap ketiga sajak “Harga Remaja”.

SAJAK
DI PERPUSTAKAAN

"DI PERPUSTAKAAN"

Melangkah ke ruangmu
Satu pertukaran yang kontras
Dari kehangatan merata
Ke kedinginan yang menerpa
Terlalu hening di sini
Gua pendeta bersemadi
Di puncak sepi
Di sana sini
Kepala-kepala runduk meneliti
Mata dan fikir bersebati

Maju ke ruang buku
Terlalu kerdil aku di sini
Terapung di laut ilmu
Tercurah berzaman
Dalam tak terselam
Betapapun kulayari
Bahtera ilmu di sini
Tak terteroka
Yang akan kucatat
Hanya setitik dari tinta
Yang akan kupetik
Hanya sebiji dari mutiara
Engkau adalah pusaka moyang
Gedung peradaban insan
Terhimpun berzaman

Bersemadi di sini
Aku adalah pelayar yang dahaga
Di dada samudera
Tak berpantai
Betapapun kuteguk darinya
Dahaga tidak pernah langsai

Soalan petikan:

a) Berikan maksud Satu pertukaran yang kontras (rangkap 1, baris 2) (2 markah)

b) Mengapakah penyajak menyifatkan dirinya kerdil apabila berada di perpustakaan? (3 markah)


Soalan komsas:

c) Jelaskan dua persoalan dalam sajak. (4 markah)

d) Nyatakan empat nilai murni yang dipaparkan oleh penyajak. (4 markah)


Soalan KBKK

e) Huraikan dua cara bagi menarik perhatian orang ramai mengunjungi perpustakaan awam.
(4 markah)

f) "Kempen membaca hanya akan berkesan jika terdapat kemudahan perpustakaan yang
mencukupi."

SAJAK
MAHSURI

Sajak Mahsuri


Arahan: Baca sajak di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.



Selendangmu mengibar di pantai
menyambut tetamu pulau
setiamu menjadi lagu
nyanyian ombak pagi
rambutmu menjadi jalur hitam
terapung di laut malam
air matamu dingin embun
jatuh di tujuh telaga
dendam tujuh keturunan
melengkung tujuh tanjung
putihlah pulau ini
disimbah darah suci


Mahsuri
sumpah itulah yang telah menghidupkan Langkawi
kerana tanpamu
Langkawi tidak sebegini.


Kata orang Mahsuri tidak pernah hidup
dia hanya bermula dengan
khayalan seorang seniman
pun kata orang Mahsuri pernah hidup
tetapi bahasa seorang pencerita
membuat dia lebih hidup dari kehidupannya

sastera yang mewarnai tanah air
kerana tanpa Mahsuri
Langkawi tidak sebegini bererti.
Mahsuri membesarkan Langkawi
sastera membesarkan tanah air.


Sebuah sajak yang sangat indah ciptaan Zurinah Hassan

(Antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)



Soalan latihan:


1) Berikan maksud rangkai kata disimbah darah suci dalam sajak ini.

2) Sekiranya anda menjadi pemimpin di Pulau Langkawi, apakah usaha yang akan anda lakukan untuk memajukan lagi sektor pelancongan pulau tersebut? Sila berikan empat usaha yang bakal anda lakukan.

3) Berdasarkan sajak “Mahsuri”, nyatakan tiga gaya bahasa yang terdapat dalam sajak tersebut.

4) Jika anda pernah bercuti di Pulau Langkawi, apakah tempat paling indah yang pernah anda lawati disana?

No comments:

Post a Comment